Sunday, May 04, 2008

Erti Sebuah Kegagalan...



“Adalah mudah untuk bersenang hati ketika hidup kita mengalir seperti sebuah lagu. Tetapi yang patut dihargai adalah mereka yang mampu tersenyum, walaupun semuanya berjalan salah...kerana ujian hati adalah kesulitan, dan ini selalu datang sepanjang masa kehidupan. Dan senyuman yang patut diberi pujian adalah senyuman yang bersinar melalui mengalirnya air mata…”

Setiap dari kita pastinya sentiasa mengimpikan kejayaan dan kebahagiaan dalam hidup…malah akan berusaha semampu mungkin untuk menghindarkan diri dari sebarang kesusahan atau bencana. Tiada siapa di dunia ini yang dengan sewenang-wenangnya meminta agar diberikan kesedihan atau kegagalan. Jika diberikan pilihan antara bahagia atau sengsara, pastinya bahagia yang menang. Inilah fitrah manusia yang lemah....yang sentiasa dalam keadaan membutuhkan (baca: berkehendakkan) sesuatu...baik sekecil-kecil perkara, mahupun sebesar-besar perkara. Perlu diingat, kesulitan tidak pernah memandang umur. Entah berumur 7, 17, atau 70 tahun, kita tidak dapat memastikan datangnya saat-saat mendung dalam kehidupan kita.

Sejenak terkenang akan kata-kata ustaz kesayangan ana semasa di alam persekolahan menengah dulu. Ustaz Mokhtar, seorang guru Bahasa Arab yang cukup disenangi oleh para pelajar tak pernah lekang daripada menaburkan kata-kata nasihat penuh makna buat kami, termasuklah diri ana. Ustaz pernah kata:

“Enti, nak senang mesti susah dulu...Ustaz dulu pun dah banyak rasa hidup susah…dah banyak makan asam-garam daripada enti…” begitulah kalimah-kalimah yang sudah tidak asing lagi buat ana...dan alhamdulillah, masih menjadi panduan hidup ana sehingga sekarang.

Suatu masa Ustaz pernah berkongsi pengalaman pahit beliau sewaktu menerima berita kematian ayahandanya kerana menderita sakit jantung. Waktu itu, beliau masih lagi belajar di Cairo, dan jauh terpisah daripada keluarga. Ana ingat-ingat lupa adakah Ustaz sempat melihat jenazah ayah sebelum dikebumikan..tapi yang ana ingat...Ustaz pernah berpesan kepada ahli-ahli keluarga beliau supaya tidak menyampaikan apa-apa berita sedih dari Malaysia selagimana beliau masih berada di Cairo...bukan apa, Ustaz tidak mahu semangatnya luntur kerana beliau telah bersusah-payah untuk melayakkan diri berada di sana...Wallahu a’laam...mungkin itu cara Ustaz ana yang ana kira sedikit ‘unik’ namun wajar. Pun begitu, bukan perkara mudah untuk menyembunyikan sebuah kesedihan, apalagi kalau ianya melibatkan mereka yang tersayang...inilah namanya manusiawi.

“Di balik kesulitan pasti ada kemudahan,” demikian firman Allah dalam QS Alam Nasyrah: ayat 6. Tidak ada mendung dan badai yang berkepanjangan, kerana hari cerah pasti datang sesudahnya.

Namun, banyak orang yang tidak bisa melalui hari-hari sulit seperti gagal dalam ujian, perceraian, bankrup dalam perniagaan, hutang keliling-pinggang, terkena penyakit berat dan sebagainya. Ketidakmampuan menghadapi kegagalan boleh membuatkan mereka mudah menyerah, malu, marah atau putus harapan. Maka, boleh jadi seluruh kehidupannya menjadi ‘badai yang tak pernah berlalu.’

Kejayaan selalu dianggap kehormatan, sedangkan kegagalan sering dianggap kehinaan. Namun, sebenarnya tidak ada kejayaan yang diperoleh tanpa melalui proses belajar dari kegagalan masa lalu. Istilah ‘berjaya dalam hanya satu malam’ sebenarnya hampir tidak pernah ada di dunia nyata.

Sejak usia kecil kita perlu diajari bahawa setiap orang pernah mengalami hari-hari susah dan kegagalan, tetapi bukan tanpa tujuan. Kegagalan dan kesulitan bisa membawa mereka ke gerbang kejayaan.






Kegagalan perlu dipandang sebagai batu loncatan, bukan sebagai lampu merah tanda berhenti. Ford, pereka kereta, boleh menjadi begitu berjaya setelah menempuh kegagalan berkali-kali dan sikap pantang menyerah untuk mencuba.

Kita harus melihat kejayaan dan kegagalan dalam perspektif yang ternyata bukan suatu hal yang mudah. Kita perlu memandang kegagalan dengan dua pandangan positif; iaitu:

  1. sebagai kesalahan yang dapat diperbaiki, dan
  2. sebagai kesempatan untuk belajar dari kesalahan dalam melangkah ke depan.

Kita perlu mengetahui bahawa kita adalah “lebih besar dari kegagalannya.”

Semakin kita mampu menerima kegagalan sebagai kesempatan untuk belajar, maka akan semakin tinggi pula motivasinya untuk menerima tentangan baru. Bahkan, kejayaan sekecil apapun akan meningkatkan rasa percaya diri kita untuk menjelajahi cakerawala kehidupan.

Dalam ertikata yang lain, terpulanglah kepada kita sendiri untuk mendefinisikan sesebuah kejayaan atau kegagalan itu. Jika kalian menyifatkan kejayaan itu dengan memiliki sejumlah wang yang banyak, maka kalian layak dikatakan berjaya jika dapat mengumpulkan harta bertimbun, atau sebaliknya. Tapi jika kalian menjadikan keredhaan Allah sebagai kejayaan, maka itulah kejayaan yang hakiki dan paling atas di antara yang teratas. Telah tertulis dalam Kitabullah bahawa redha Allah adalah anugerah yang paling berharga dan harus didambakan oleh setiap insan. Wallahu ta’ala a’laam...Semoga bermanfaat buat yang sudi membaca....Untuk kesekian kalinya, dimaklumkan bahawa ana sekadar memperingatkan dan memuhasabah diri sendiri...tanpa sebarang niat untuk menggurui, inshaAllah...tapi alangkah bersyukurnya ana sekiranya ada insan-insan lain yang dapat mengambil pengiktibaran darinya...walau sedikit cuma...Allahu a'laam...Asifati jiddan ‘ala kulli hal. Semoga Allah sentiasa memelihara kita semua. Amin...


~ Diolah daripada sebuah artikel di Buletin Tarbiah, 2006 ~

2 comments:

  1. benar...jangan bersikap lemah dengan kegagalan dan jangan pula bongkak dengan kejayaan. Penentuan kejayaan dan kegagalan itu milik Allah tetapi kita yang menentukan bagaimana kita akan menghadapinya...

    ReplyDelete
  2. terima kasih kerana sudi menitipkan komentar...inshaAllah, doakan berpanjangan agar kita masih mampu senyum di sebalik mehnah...

    Kata seorang sahabat baik akak..."hadapilah dengan senyuman"...Allahu a'laam...


    ~~Indeed, Allah has more patience than you can imagine~~

    ReplyDelete