Wednesday, February 07, 2007

Perihal Iman itu...


“Wahai saudaraku! Tahukah kamu akan perkara yang merisaukan hati kecilku ini?” soal Saidina Abu Bakar As-Siddiq kepada Hudzaifah Al-Yaman yang terkenal dengan sifat mulianya dalam menjaga kerahsiaan dengan sempurna.

“Mengapa wahai saudaraku, Abu Bakar? Ceritakanlah kepadaku, barangkali ada ‘ibroh yang bisa diambil darinya,” ujar Hudzaifah dengan nada yang lembut.

“Aku sedari yang aku tidak bisa berpisah dengan Rasulullah SAW. Kuperhatikan, sewaktu aku bersama Baginda, terasa imanku begitu melonjak tinggi. Namun, setelah aku jauh dari pandangannya dan pulang ke pangkuan keluargaku, ternyata imanku sedikit menurun. Munafik-kah aku wahai saudara seaqidahku?” Abu Bakar memberikan penjelasan, tapi kali ini nadanya seakan sedikit risau.

“Subhanallah, sampai begitu sekali fikiranmu. Begitu telitinya engkau dalam menjaga kesihatan ruhiyy-mu. Aku pun turut merasai perkara yang sama. Menurut pandanganku yang dhaif ini, eloklah kiranya kita bertanyakan langsung pada Rasulullah. Aku pasti Baginda mampu menghilangkan kerisauan yang timbul di hati kita ini. inshaAllah,” jawab Hudzaifah dengan penuh yakin.

Setelah disepakati, akhirnya Saidina Abu Bakar dan Hudzaifah lantas berjumpa dengan Rasulullah, pesuruh Allah bagi mendapatkan penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi.

MashaAllah, bijaknya Rasulullah dalam memberikan jawapan kepada mereka berdua. Baginda lagi memberikan perumpamaan untuk mereka berdua fikirkan. Kata Rasulullah, “…seandainya iman kamu sentiasa di atas dan tiada naik turunnya, nescaya semua Malaikat pasti akan turun ke bumi lalu berjabat tangan dengan kamu…”

Sahabat-sahabat yang ana kasihi sekelian,

Kisah di atas adalah satu kisah yang benar-benar terjadi pada zaman Rasulullah SAW. Namun, dialog-dialognya hanyalah rekaan ana semata-mata, tapi inshaAllah masih lagi mengekalkan keaslian maksudnya. Cuma, ana berharap agar antum dapat mengambil sedikit pengajaran dan dapat menangkap mesej yang cuba ana sampaikan buat bekalan antum kali ini…khayr, inshaAllah.

Pertamanya, ana menyeru diri ana sendiri dan juga sahabat-sahabat sekelian untuk melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat Iman dan Islam yang masih lagi dipeliharaNya dalam diri kita semua. Betapa beruntung dan gembiranya andai kita bisa membuka kembali mata dan bernafas untuk hari yang baru, dalam keadaan masih lagi beriman kepada Yang Esa. Alhamdulillah atas segala hal.

Tapi, sayang seribu kali sayang sekiranya nikmat itu telah luput dan lucut daripada sanubari kita semua. Iman itu suatu yang amat berharga dalam diri setiap insan. Ianya tidak mampu dijual-beli. Justeru, kalau sekali ia hilang dari kita, sukar untuk mendapatkannya semula. Teringat ana pada lirik lagu dari kumpulan nasyid Raihan…tajuknya “Iman Mutiara” (kalau tidak salah ingatan ana):

“…iman tak dapat diwarisi…dari seorang ayah yang bertaqwa…ia tak dapat dijual-beli…ia tiada di tepian pantai….”

Berbalik kepada kisah yang ana bawakan di atas, subhanallah….sedangkan para sahabat yang telah terjamin kesudahan di syurga Allah pun masih lagi risau akan tahap keimanan masing-masing, inikan pula kita manusia biasa yang masih belum pasti pengakhirannya, sama ada baik atau buruk. Janganlah hanya kerana kita bergelar ummat Muhammad, kita boleh bersenang-lenang dan hanyut dengan keindahan dunia yang ternyata mempesonakan tanpa berusaha kuat untuk bekal di akhirat kelak.

“Dan kehidupan dunia ini, hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan negeri akhirat itu, sungguh lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mengerti?” [QS6:32]

“Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.” [QS28:77]

Ya benar, Rasulullah bisa sahaja mengurniakan syafaat Baginda kepada kita semua di Mahkamah Agung Allah nanti…tapi adakah itu menjadi pelepas tanggungjawab daripada kita? Tidak sekali-kali! Renungilah kata-kata hikmah dari Al-Maududiy dalam salah satu kitab tulisannya:

“Dunia adalah medan amal dan tiada hisab….tetapi Akhirat adalah medan hisab dan tiada lagi amal.”

Allah juga pernah berfirman dalam Al-quran agar kita mengambil peluang yang ada selama kita masih hidup di dunia ini untuk beramal…mencari bekal buat pembela diri ketika menghadapNya kelak.

Firman Allah:

“..segala yang baik yang kamu kerjakan, Allah mengetahuinya. Bawalah bekal, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa..” [QS2:197]

Tidak sedikit perihal iman itu yang bisa kita ketahui…inshaAllah, di sini ana muatkan beberapa komentar dari para sahabat tentang Iman…

Umar Al-Khattab r.a. pernah berkata kepada teman-temannya: “Ayuhlah! Moga kita dapat meningkatkan keimanan kita semua.”

Selanjutnya, Abdullah Ibnu Mas’ud mengatakan: “Duduklah bersama kami, nescaya kamu bisa meningkatkan imanmu”. Malahan, dalam sujudnya, beliau tidak lupa berdoa supaya Allah menambahkan keimanannya, keyakinannya dan juga kefahaman kepadanya.

Selain itu, kata-kata yang amat familiar dan famous di Monash yang selalu disampaikan oleh kakak-kakak senior ana yang dipetik daripada Mu’adz bin Jabal yang berbunyi: “Duduklah bersama kami dan berimanlah sejenak” atau dalam Arabic-nya “Ijlis Bina wanu’minu sa’ah.”

Sewajarnya juga antum menilai kata-kata daripada Abu Darda yang berbunyi: “Ianya terserah kepada setiap hamba Allah itu untuk menentukan sama ada imannya meningkat atau menurun, dan ianya juga bergantung kepada kebijakan hamba Allah tersebut untuk mengetahui bagaimana, di mana dan bilakah datangnya bisikan-bisikan jahat Syaitan la’natullah.”

Akhirnya, hayatilah pesanan penuh makna dari Abdur Rahman Ibn ‘Amr al-Awzaa’ee yang apabila ditanya tentang Iman, ‘Adakah ianya bertambah?’ Beliau lalu menjawab: “Ya, sehinggalah ia menjadi setinggi gunung.” Terus, beliau ditanya lagi, ‘Adakah ianya berkurang?’ Beliau lantas menjawab: “Ya, sehinggalah tiada apa-apa lagi yang tinggal.”

MashaAllah, betapa pentingnya kita semua mempunyai hati yang sangat sensitif dan peka dengan “Kesihatan Iman” kita selama kita hidup. Fitrahnya, Iman itu SINUSOIDAL. Kadang-kadang ia berada di tahap paling atas….dan bisa sahaja ia jatuh menjunam ke bawah. Hati-hatilah wahai sahabat-sahabat yang ana kasihi fillah (termasuklah diri ana sendiri yang sering kelupaan)…rajin-rajinkanlah menyemak status Iman kita. Tiada salahnya kita menjadi seorang yang terlalu berwaspada kerana ternyata Iman itu terlalu berharga bak emas permata.

“Iman…bagaikan emas permata,
Letaknya di dalam jiwa…
Kemilau warnanya bak cahaya…
Penyuluh hidup seluruh manusia…

Iman letaknya di hati,
Suburkanlah dengan ilmu…
Bajainya dengan zikrullah…
Ia menunjukkan kita jalan diredhai Allah..
Imanlah harta yang paling berharga…

Iman…kurniaan Yang Esa,
Tanpa mengira bangsa dan rupa…
Memberi petunjuk ke jalan mulia…
Menjadi benteng penghalang dosa…”

Alangkah indahnya andai kita mampu mencontohi seperti mereka yang disebutkan Allah dalam kitabNya:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah kuat imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal.” [QS8:2]

“(iaitu) orang-orang (yang menaati Allah dan Rasul) yang ketika ada orang-orang mengatakan kepadanya, “Orang-orang (Quraisy) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka,” ternyata (ucapan) itu menambah (kuat) iman mereka dan mereka menjawab, “Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung.” [QS3:173]

“Dan ketahuilah bahawa di tengah-tengah kamu ada Rasulullah. Kalau dia menuruti (kemahuan) kamu dalam banyak hal, pasti kamu akan mendapatkan kesusahan. Tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan, dan menjadikan (iman) itu indah dalam hatimu, serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus.” [QS49:7]

Alhamdulillah, walaupun terasa nukilan kali ini lebih comot berbanding yang lain…tetapi dengan rahmat Ilahi, dapat juga ana tamatkan entry kali ini. inshaAllah, semoga ada manfaatnya buat diri kita semua, kalaupun tidak banyak…sedikit pun sudah memadai…terimalah seadanya…kerana hanya ini yang mampu ana berikan buat masa ini..Asifati jiddan atas sebarang kekurangan dan kesilapan tutur kata…Ana al-faqeerah ilallah…

Jazakumullahu khayran katsiran atas segalanya…dokongan, sokongan dan suntikan semangat…dan paling penting..ingatan antum semua pada diri ana di dalam bait-bait doa antum…may Allah reward you good…Ameen…

Wallahu ta’ala a’laam…