Saturday, February 20, 2010

Tentang dia...

Bismillah, dengan Asma Allah ana mulakan


(Percubaan menulis cerpen sendiri...inginkan kebebasan menulis)

***


Satu tabiat yang dulunya sangat gemar ana lakukan. Bila membaca buku atau majalah atau hanya sekadar artikel dan terjumpa mutiara-mutiara kata yang indah, ana akan terus tuliskan semula di dalam buku tulis ana. Seingat ana, tabiat ini bermula sejak ana memulakan tahun persediaan di INTEC, Shah Alam. Sayangnya buku tulis tersebut sudah hilang, dicari tak pernah ketemu. Silap ana juga barangkali.


Dalam banyak-banyak yang ana catatkan, teringat akan kata-kata menarik ini. Ianya dalam Bahasa Inggeris. Ana hampir saja hafal kerana ianya cukup terkesan di hati. Baris pertamanya berbunyi:


“We never know when a friendship is formed...”


Ana sangat setuju dengan kata-kata tadi. Tiada alasan kukuh, cuma secara peribadi ana turut merasakan kebenaran kata-kata itu.


Andai diimbas kembali, jujur ana katakan...ana tidak tahu bagaimana dan bila (persisnya) ana berkenalan dengan seseorang yang cukup bererti dalam sejarah kehidupan ana. Cuma yang pasti, ana mengenali empunya diri melalui seorang sahabat dekat.


Kata orang, untuk cukup mengenali diri seseorang (baca: taaruf) itu satu proses yang panjang. Takkan bisa selesai dalam masa sehari dua. Bahkan boleh jadi ia mengambil masa seumur hidup kita. Hal yang sama turut terjadi di antara kami. Wajar sahaja jika ana katakan masih banyak hal yang belum ana ketahui tentang dirinya. Manusia ialah ciptaan Allah yang sangat kompleks. Rumit sekali untuk memahami setiap sesuatu yang terjadi. Ah, mungkin ana cuma beralasan untuk tidak terus mencuba mendekati dirinya agar tautan hati ini akan lebih utuh! Wallahu a’laam.


Kami tidak sering bertemu. Faktor jarak (terutamanya) antara punca kami tidak dapat terlalu kerap berjumpa. Tambahan pula, sepanjang empat tahun ana berkelana di tanah Australia...boleh dihitung berapa kali pertemuan kami. Itupun sekadar mencuri masa sewaktu ana pulang cuti Summer. Masakan tidak, waktu pulang bercuti...sudah semestinya diluangkan bersama ahli keluarga dan sanak-saudara yang sudah lama tidak ketemu. Kerana ini, ana sering berperang sendiri. Banyak hak yang harus ditunaikan, dan terkadang sehingga terpaksa mengabaikan hak ke atas diri sendiri. Afwan katsiran atas kelemahan diri ini...


***


Saat dan ketika ini, di kala jari-jemari ringan menekan papan kekunci laptop, ana mengubat kerinduan yang teramat padanya. Waktu begini, muncullah segala ingatan tentang saat-saat manis, pahit kami bersama. Moga menjadi penyembuh rindu, dengan izin Allah.


***


Hari itu ana ada beberapa urusan penting yang harus dilaksanakan. Pada awalnya ana khuatir kalau-kalau kami tidak akan sempat berjumpa. Namun, syukurlah semuanya berjalan lancar seperti yang diharapkan (meskipun tetap saja ada satu hal yang masih ‘pending’). Semuanya atas keizinan dan kehendak Allah, pastinya!


Kami merancang bertemu di sebuah masjid. Syukur Alhamdulillah, perjalanan ke sana dimudahkan Allah dan ana berserta dua orang peneman setia (adik perempuan dan sepupu perempuan ana) sudah pun memasuki perkarangan masjid sebaik sahaja azan Zohor berkumandang.


Sepatu masing-masing dilepaskan. Kedua-dua orang peneman setia ana sudah terlebih dahulu masuk ke ruangan solat wanita. Barangkali mereka terlalu penat kerana kami sudah keluar rumah sejak 6.30 pagi tadi. Terima kasih kalian. Hanya Allah yang layak membalasnya.


Sementara itu, mata ana melilau ke persekitaran masjid mencari-cari raut wajah yang amat dikenali. Namun, ana gagal mencarinya lantas telefon bimbit dicapai dan nombor ditekan.


“Assalamualaikum akak. Alhamdulillah, Yus dah selamat sampai di masjid. Akak di mana ya?”


“Waalaikumussalam wbt. Akak pun dah di masjid. Cuba jalan ke arah depan sedikit. Akak dan anak-anak dah menunggu di sini.”


Panggilan kami terhenti di situ. Alhamdulillah, akhirnya wajah tenang itu dapat ditatapi dengan jarak yang lebih dekat. Saat itu, hati ana seperti berbunga-bunga. Kerinduan yang tak terbendung rasanya tatkala melihat kejernihan wajah seorang kakak yang sangat ana sayangi keranaNya. Di satu sudut, kelihatan dua orang anak kecil berlari-lari riang di perkarangan masjid. Mereka seolah-olah tenggelam dalam dunia mainan mereka sendiri, sementara kami larut dalam rasa rindu kami yang menggunung. Subhanallah, mungkin inilah yang dikatakan buah daripada kemanisan Ukhuwwah Fillah. Ikatan yang didasari kerana Allah SWT, bukan selainNya. Terima kasih Ya Allah atas nikmat ini!


Saat pertemuan itu, ana merasakan terlalu banyak yang ingin dikongsikan bersama. Cuma ana tidak pasti dari mana harus bermula. Pun begitu, kami tetap berbual mesra. Dalam pertemuan kami, ana memilih untuk mendengarkan cerita-cerita dari kakak kesayangan terlebih dahulu.


Tempoh perpisahan yang agak lama sudah cukup membuatkan ana merasai betapa ana sudah banyak “ketinggalan” dalam mengikuti perkembangannya. Senang sekali mendengarkan perkongsiannya di samping peringatan berupa nasihat berguna untuk pedoman ana dalam kehidupan sehari-hari. Sekali-sekala, perbualan kami terhenti seketika apabila kedua-dua orang anak kecil itu berkelahi kecil semasa bermain.


***


Keintiman hubungan kami sejak dulu membuatkan tiada lagi jurang untuk kami berkongsi segala suka-duka antara satu sama lain. Ana masih lagi setia mendengar kisah-kisah kehidupan kakak tersayang selama ketiadaan ana di tanah air. Sesekali air mata jernih jatuh berguguran di pipi menandakan simpati atas apa yang terjadi. Namun air mata bukan sahaja mengiringi kesedihan, tetapi juga kebahagiaan. Terpulanglah pada kita untuk menanggapinya.


“Yusrina, semenjak Yusrina tak ada di Malaysia...dah macam-macam hal berlaku. Yusrina pun mungkin boleh jadi tak percaya dengan apa yang akak ceritakan hari ini. Tapi itulah hakikatnya yang harus diterima.”


“Subhanallah akak. Tak sangka banyak perkara yang Yus tak tahu selama ini.”


“Kita sama akak. Tapi tetap saja tak serupa. Allah datangkan ujian sebegini buat akak, sementara untuk Yus, Dia datangkan ujian bentuk lain. Tetapi, semua itu kerana Dia sayangkan kita, kan akak? Dia tak nak kita lupakan Dia. Makanya Dia bagi kita ujian, cabaran, halangan...supaya dengan itu kita tak jauh dariNya.”


Waktu itu ana dah tak mampu menyeka air mata yang dari tadi menunggu masa untuk dititiskan. Kakak kesayangan ana juga turut menangis pilu mengenangkan semuanya. Detik yang cukup menusuk ke lubuk hati. Meresap jauh ke dalam jiwa. Dan tanpa disangka-sangka, hujan renyai-renyai mulai turun membasahi perkarangan masjid dan kawasan berhampirannya. MashaAllah, barangkali alam ingin bersahabat dengan kami dan turut sama bersedih sehingga hujan pun turun. Seolah-olah alam turut mengerti perasaan kami pada waktu itu. Maha Suci Allah yang mentadbir alam ini!


“Allahumma syaiban naafi’a.” [Ya Allah, jadikanlah hujan ini bermanfaat buat kami]


(Bersambung, dengan izin Allah...inshaAllah...)

2 comments:

  1. Salam ukhuwwah. Blog masih aktif. Mabruk!

    ReplyDelete
  2. salam kembali abouti...jzkk sudi singgah di blog ni...to be honest, blog ni sedikit terabaikan...kurang aktif rasanya...wallahu a'laam...mudah-mudahan akan ada entries seterusnya, inshaAllah...

    ReplyDelete