Di kala sela masa antara Maghrib dan Isyak, handphone Sony Ericsson ana berbunyi menandakan ada mesej masuk.
### Text message received ###
Nama yang terpapar di skrin sudah tidak asing lagi…
### Read now? ‘Yes’/ ‘No’
Memandangkan ana baru sahaja usai berwirid dan berdoa, jari-jemari pantas menekan keypad untuk pilihan ‘Yes’.
Lantas, mesej tersebut dapat dibaca dengan jelas…
“Sahabat...kadang-kadang kita tertanya-tanya dan al-quran ada jawapannya…
- Kenapa aku diuji? (Al-Ankabut: 2-3)
- Kenapa aku tidak mendapat apa yang aku idamkan? (Al-Baqarah: 216)
- Kenapa ujian seberat ini?(All-Baqarah: 286)
- Kenapa rasa kecewa? (Ali-Imran: 139)
- Bagaimana harus kuhadapi? (Al-Baqarah: 45)
- Apa yang aku dapat dari semua ini? (At-Taubah : 111)
- Kepada siapa kuberharap ? (At-Taubah : 129)
MashaAllah, jujur...hati ini cukup tersentak saat mesej tersebut habis dibaca. Ya Allah, renungan itu sebetulnya sudah pernah diterima suatu masa dahulu, malahan terjemahan pada ayat-ayat tersebut inshaAllah sudah terhafal dengan sendirinya. Namun, jiwa ini benar-benar terusik tatkala diingatkan lagi untuk kesekian kalinya. Perasaan itu cukup berbeza dengan yang sebelumnya...
Jauh di dalam hati, sekalung penghargaan diiringi seuntai doa dihadiahkan pada pengirimnya. Jazakumullahu khayran katsiran, adik.
Sebuah al-quran yang pernah dihadiahkan oleh Ummu Hana sebelum ana meninggalkan kota Brisbane dicapai dari atas meja untuk disemak.
Fikiran ana kali ini lebih tertumpu kepada dua ayat dari surah Al-Ankabut seperti yang dituliskan dalam mesej tadi.
Allah merakamkan di dalam al-quran yang berbunyi : "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman, " dan mereka tidak diuji ? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta."
Entah kenapa...seperti mendapat ilham dari Allah, bacaan terjemahan diteruskan sehingga ana sampai ke ayat 10. Bacaan terhenti seketika. Berulang kali maksud ayat 10 dari Surah Al-Ankabut itu ana baca.
"Dan di antara manusia ada sebahagian yang berkata, “Kami beriman kepada Allah,” tetapi apabila dia disakiti (kerana dia beriman) kepada Allah, dia menganggap cubaan manusia itu sebagai seksaan Allah. Dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu, nescaya mereka akan berkata, "Sesungguhnya kami bersama kamu." Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada di dalam dada semua manusia ?"
Ya Allah, jangan biarkan diri hambaMu ini termasuk dalam golongan yang disebutkan olehMu di dalam ayat ini. Na’uzubillahiminzalik.
Dengan tidak semena-mena, kelopak mata ini dirasakan berkaca-kaca. Air jernih itu akhirnya jatuh berguguran kerana hati ini terlalu sebak. Kalah lagi ? Bukankah menangis itu tanda kelemahan ? Tidak ! Titisan air jernih kali ini bukanlah kerana kalah mahupun lemah, tetapi ia adalah tangisan kerana takut dan khuatir andai diri ini berputus asa dari mengharapkan rahmat Allah. Jangan begitu...tapi tegarlah, duhai diri!
Subhanallah ! Engkau datangkan ayat-ayatMu untuk merawat jiwa yang sedang diruntun hiba ini. Waktunya sungguh tepat. Guna mengubat hati dan menguatkan diri ini yang ternyata cukup lemah. Terima kasih Allah kerana sudi meminjamkan sedikit kekuatan buat hambaMu ini....
*** Lalu ketenangan itu hadir menyusup ke dalam lubuk hati ini atas izinNya...