Wednesday, January 30, 2008

Kasih Tak Bermusim…


perjalanan mencari Tuhan yang masih jauh...sejauh renungan mata

Mengapa manusia itu perlu saja mencari-cari sebab dan alasan untuk menghampirkan diri kepada Allah? Tidak bolehkah kalau perasaan itu datangnya dari sudut nurani yang tulus dan mulus? Tak mungkinkah keinginan itu hadir tanpa rasa ‘keterpaksaan’? Pernah suatu masa, soalan-soalan retoris ini datang menerjah di benak fikiran ana…Allahu a’laam…susah untuk mencari atau mendapatkan jawapannya…apatah lagi penjelasan…

Kalau dianalogikan dengan situasi seorang anak kecil yang berkehendakkan sesuatu, dia pasti akan berusaha bersungguh-sungguh…dengan cuba merapati ibu bapa, pujuk rayu, atau juga janji-janji manis kepada ibu bapanya dengan harapan tinggi melangit agar keinginannya dipenuhi…selagimana dia tidak mendapatkan apa yang dia mahu, sanggup dia menahan lapar dan dahaga…atau mungkin mengasingkan diri sebagai tanda tidak puas hati, hanya kerana hasrat hatinya belum tercapai.

Bila dilihat pada manusia dewasa kini yang sentiasa berkehendak dan tidak pernah merasa cukup dengan apa yang ada, keadaan yang sama akan berlaku…Semaksimum mungkin usaha dilakukan demi mengejar impian yang dicita…tapi sayangnya mereka lupa…tak teringat yang adanya campur tangan Kuasa lain dalam setiap urusan kehidupan mereka di dunia ini…mereka anggap merekalah pengatur segala…keluarga, kerjaya, dan semuanya…tak ramai yang diberikan kesedaran tentang adanya kesertaan Allah dalam hidup ini…tanpa Dia yang mentadbir seluruh alam…maka pasti haru-biru jadinya…porak-peranda…tidak teratur dan sebagainya…

Bercakap tentang dunia pula, sudah menjadi lumrah kehidupan…mana mungkin hidup itu indah secantik jalur-jalur pelangi…mustahil hidup itu ‘monotonous’ sahaja….kadangkala akan tibanya detik kejatuhan buat seseorang insan bergelar hamba…ingatlah sahabat sekelian…jalan hidup ini tidak selalunya mendatar…tiba masa, kita akan sampai ke bahagian jalan yang tidak rata….atau mungkin juga curam serta merbahaya….Allahu a’laam…kita tidak dapat menjangka dengan tepat, tapi sewajarnya kita harus bersedia….be prepared for anything…benarlah seperti kata peribahasa Melayu: “Sediakan payung sebelum hujan.”

Masalah dunia itu seolah-olah tiada penghujungnya…tapi percayalah, mungkin itu juga salah satu ‘taktik’ Allah untuk ‘menarik’ hamba-hambaNya datang membuat aduan…kalau pokok takkan bergoyang tanpa adanya angin….kalau tiadanya awan yang mengandungi hujan datang berarak ke sesuatu tempat, masakan mungkin hujan akan turun….begitu jugalah dengan kita sebagai insan lemah….waktu senang, senanglah kita melupakan Allah….tetapi tatkala kesusahan menimpa, waktu itulah kita sangat akrab dengan Tuhan…timbullah rasa rendah diri dan penuh pengharapan pada diriNya….dan kesemua itu hadir tanpa rasa keterpaksaan…ketika itu jugalah ibadah dirasakan begitu dihayati…solat menjadi semakin khusyuk…seakan-akan formula menghadirkan hati ketika bersolat untuk mencapai darjah kekhusyukan sudah mantap digunakan…MashaAllah, satu perubahan yang bagus, bukan?

Namun, dari satu sudut…ana terdetik yang ianya hadir atas sesuatu sebab…rasa sayang dan ingin menghampirkan diri kepada Sang Pencipta itu sebenarnya muncul dek tribulasi dunia…ibarat kasih yang bermusim! Bukankah Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita dengan hadis sahih Baginda yang berbunyi:

“…peliharalah Allah, nescaya engkau dapati Allah di hadapan engkau. Kenallah Allah pada masa lapang, nescaya Ia kenal engkau pada masa susah…”

Mengapa perlunya kasih itu bermusim?…seasonal?…kenapa ianya bukan sesuatu yang permanent and persistent? Ternyata, untuk kita mengenal Allah di kala kesempitan itu lebih senang daripada mengingati Allah di waktu bahagia…ana kira itu fitrah kejadian kita sebagai manusia yang dhaif…tapi alangkah baiknya andai kita sentiasa menyertakan Allah setiap detik dan masa….setiap helaan nafas kita adalah kerana Dia…setiap langkahan kaki kita adalah untuk Dia…setiap perlakuan kita adalah dengan berlandaskan syariatNYA…pendek kata, by Allah, for Allah and with Allah…Wallahu a’laam…ianya tak semudah bicara kerana memerlukan mujahadah dan perjuangan yang tinggi…

Seringkali timbul rasa risau dan takut dalam diri ana bila mengingatkan firman-firman Allah dalam KalamNya yang suci…bilamana manusia itu hanya akan datang kepada Allah ketika mereka diuji dengan ujian kesusahan…tetapi, apabila hidup mereka indah dan bebas dari gangguan…mereka begitu selesa sehingga ke tahap yang mereka merasa diri serba cukup (i.e. comfort zone). Moga dijauhkan Allah dari bersifat sedemikian…kerana “…sungguh, manusia itu benar-benar melampaui batas, apabila melihat dirinya serba cukup.” [QS96:6-7]

InshaAllah, ana menyeru diri ana sendiri dan juga sahabat-sahabat ana yang amat dikasihi supaya sentiasa mengingati dan mengenal Allah secara bersungguh-sungguh. Janganlah menunggu adanya sesuatu perkara yang terjadi pada diri kita, barulah kita tergesa-gesa mencari Allah…kenallah Allah pada masa lapang. Pedoman Rasulullah SAW amat menyarankan supaya barangsiapa yang sukakan Allah memperkenankan doanya pada waktu kesusahan, maka hendaklah ia membanyakkan doa pada waktu kelapangan. Semoga diberikan ilham untuk sentiasa kembali kepada Allah di kala senang dan sempit. Amin….Wallahu ta’ala a’laam…Rimbunan kemaafan ana pohonkan seandainya tulisan kali ini ‘terlalu comot’ memandangkan ana dah lama tidak menulis….Afwan katsiran atas kekurangan dan kelemahan diri….moga ada manfaatnya…inshaAllah…