Saturday, February 20, 2010

Tentang dia...

Bismillah, dengan Asma Allah ana mulakan


(Percubaan menulis cerpen sendiri...inginkan kebebasan menulis)

***


Satu tabiat yang dulunya sangat gemar ana lakukan. Bila membaca buku atau majalah atau hanya sekadar artikel dan terjumpa mutiara-mutiara kata yang indah, ana akan terus tuliskan semula di dalam buku tulis ana. Seingat ana, tabiat ini bermula sejak ana memulakan tahun persediaan di INTEC, Shah Alam. Sayangnya buku tulis tersebut sudah hilang, dicari tak pernah ketemu. Silap ana juga barangkali.


Dalam banyak-banyak yang ana catatkan, teringat akan kata-kata menarik ini. Ianya dalam Bahasa Inggeris. Ana hampir saja hafal kerana ianya cukup terkesan di hati. Baris pertamanya berbunyi:


“We never know when a friendship is formed...”


Ana sangat setuju dengan kata-kata tadi. Tiada alasan kukuh, cuma secara peribadi ana turut merasakan kebenaran kata-kata itu.


Andai diimbas kembali, jujur ana katakan...ana tidak tahu bagaimana dan bila (persisnya) ana berkenalan dengan seseorang yang cukup bererti dalam sejarah kehidupan ana. Cuma yang pasti, ana mengenali empunya diri melalui seorang sahabat dekat.


Kata orang, untuk cukup mengenali diri seseorang (baca: taaruf) itu satu proses yang panjang. Takkan bisa selesai dalam masa sehari dua. Bahkan boleh jadi ia mengambil masa seumur hidup kita. Hal yang sama turut terjadi di antara kami. Wajar sahaja jika ana katakan masih banyak hal yang belum ana ketahui tentang dirinya. Manusia ialah ciptaan Allah yang sangat kompleks. Rumit sekali untuk memahami setiap sesuatu yang terjadi. Ah, mungkin ana cuma beralasan untuk tidak terus mencuba mendekati dirinya agar tautan hati ini akan lebih utuh! Wallahu a’laam.


Kami tidak sering bertemu. Faktor jarak (terutamanya) antara punca kami tidak dapat terlalu kerap berjumpa. Tambahan pula, sepanjang empat tahun ana berkelana di tanah Australia...boleh dihitung berapa kali pertemuan kami. Itupun sekadar mencuri masa sewaktu ana pulang cuti Summer. Masakan tidak, waktu pulang bercuti...sudah semestinya diluangkan bersama ahli keluarga dan sanak-saudara yang sudah lama tidak ketemu. Kerana ini, ana sering berperang sendiri. Banyak hak yang harus ditunaikan, dan terkadang sehingga terpaksa mengabaikan hak ke atas diri sendiri. Afwan katsiran atas kelemahan diri ini...


***


Saat dan ketika ini, di kala jari-jemari ringan menekan papan kekunci laptop, ana mengubat kerinduan yang teramat padanya. Waktu begini, muncullah segala ingatan tentang saat-saat manis, pahit kami bersama. Moga menjadi penyembuh rindu, dengan izin Allah.


***


Hari itu ana ada beberapa urusan penting yang harus dilaksanakan. Pada awalnya ana khuatir kalau-kalau kami tidak akan sempat berjumpa. Namun, syukurlah semuanya berjalan lancar seperti yang diharapkan (meskipun tetap saja ada satu hal yang masih ‘pending’). Semuanya atas keizinan dan kehendak Allah, pastinya!


Kami merancang bertemu di sebuah masjid. Syukur Alhamdulillah, perjalanan ke sana dimudahkan Allah dan ana berserta dua orang peneman setia (adik perempuan dan sepupu perempuan ana) sudah pun memasuki perkarangan masjid sebaik sahaja azan Zohor berkumandang.


Sepatu masing-masing dilepaskan. Kedua-dua orang peneman setia ana sudah terlebih dahulu masuk ke ruangan solat wanita. Barangkali mereka terlalu penat kerana kami sudah keluar rumah sejak 6.30 pagi tadi. Terima kasih kalian. Hanya Allah yang layak membalasnya.


Sementara itu, mata ana melilau ke persekitaran masjid mencari-cari raut wajah yang amat dikenali. Namun, ana gagal mencarinya lantas telefon bimbit dicapai dan nombor ditekan.


“Assalamualaikum akak. Alhamdulillah, Yus dah selamat sampai di masjid. Akak di mana ya?”


“Waalaikumussalam wbt. Akak pun dah di masjid. Cuba jalan ke arah depan sedikit. Akak dan anak-anak dah menunggu di sini.”


Panggilan kami terhenti di situ. Alhamdulillah, akhirnya wajah tenang itu dapat ditatapi dengan jarak yang lebih dekat. Saat itu, hati ana seperti berbunga-bunga. Kerinduan yang tak terbendung rasanya tatkala melihat kejernihan wajah seorang kakak yang sangat ana sayangi keranaNya. Di satu sudut, kelihatan dua orang anak kecil berlari-lari riang di perkarangan masjid. Mereka seolah-olah tenggelam dalam dunia mainan mereka sendiri, sementara kami larut dalam rasa rindu kami yang menggunung. Subhanallah, mungkin inilah yang dikatakan buah daripada kemanisan Ukhuwwah Fillah. Ikatan yang didasari kerana Allah SWT, bukan selainNya. Terima kasih Ya Allah atas nikmat ini!


Saat pertemuan itu, ana merasakan terlalu banyak yang ingin dikongsikan bersama. Cuma ana tidak pasti dari mana harus bermula. Pun begitu, kami tetap berbual mesra. Dalam pertemuan kami, ana memilih untuk mendengarkan cerita-cerita dari kakak kesayangan terlebih dahulu.


Tempoh perpisahan yang agak lama sudah cukup membuatkan ana merasai betapa ana sudah banyak “ketinggalan” dalam mengikuti perkembangannya. Senang sekali mendengarkan perkongsiannya di samping peringatan berupa nasihat berguna untuk pedoman ana dalam kehidupan sehari-hari. Sekali-sekala, perbualan kami terhenti seketika apabila kedua-dua orang anak kecil itu berkelahi kecil semasa bermain.


***


Keintiman hubungan kami sejak dulu membuatkan tiada lagi jurang untuk kami berkongsi segala suka-duka antara satu sama lain. Ana masih lagi setia mendengar kisah-kisah kehidupan kakak tersayang selama ketiadaan ana di tanah air. Sesekali air mata jernih jatuh berguguran di pipi menandakan simpati atas apa yang terjadi. Namun air mata bukan sahaja mengiringi kesedihan, tetapi juga kebahagiaan. Terpulanglah pada kita untuk menanggapinya.


“Yusrina, semenjak Yusrina tak ada di Malaysia...dah macam-macam hal berlaku. Yusrina pun mungkin boleh jadi tak percaya dengan apa yang akak ceritakan hari ini. Tapi itulah hakikatnya yang harus diterima.”


“Subhanallah akak. Tak sangka banyak perkara yang Yus tak tahu selama ini.”


“Kita sama akak. Tapi tetap saja tak serupa. Allah datangkan ujian sebegini buat akak, sementara untuk Yus, Dia datangkan ujian bentuk lain. Tetapi, semua itu kerana Dia sayangkan kita, kan akak? Dia tak nak kita lupakan Dia. Makanya Dia bagi kita ujian, cabaran, halangan...supaya dengan itu kita tak jauh dariNya.”


Waktu itu ana dah tak mampu menyeka air mata yang dari tadi menunggu masa untuk dititiskan. Kakak kesayangan ana juga turut menangis pilu mengenangkan semuanya. Detik yang cukup menusuk ke lubuk hati. Meresap jauh ke dalam jiwa. Dan tanpa disangka-sangka, hujan renyai-renyai mulai turun membasahi perkarangan masjid dan kawasan berhampirannya. MashaAllah, barangkali alam ingin bersahabat dengan kami dan turut sama bersedih sehingga hujan pun turun. Seolah-olah alam turut mengerti perasaan kami pada waktu itu. Maha Suci Allah yang mentadbir alam ini!


“Allahumma syaiban naafi’a.” [Ya Allah, jadikanlah hujan ini bermanfaat buat kami]


(Bersambung, dengan izin Allah...inshaAllah...)

Monday, October 12, 2009

Tegarlah, duhai diri...

Di kala sela masa antara Maghrib dan Isyak, handphone Sony Ericsson ana berbunyi menandakan ada mesej masuk.


### Text message received ###


Nama yang terpapar di skrin sudah tidak asing lagi…


### Read now? ‘Yes’/ ‘No’


Memandangkan ana baru sahaja usai berwirid dan berdoa, jari-jemari pantas menekan keypad untuk pilihan ‘Yes’.


Lantas, mesej tersebut dapat dibaca dengan jelas…


“Sahabat...kadang-kadang kita tertanya-tanya dan al-quran ada jawapannya…

  1. Kenapa aku diuji? (Al-Ankabut: 2-3)
  2. Kenapa aku tidak mendapat apa yang aku idamkan? (Al-Baqarah: 216)
  3. Kenapa ujian seberat ini?(All-Baqarah: 286)
  4. Kenapa rasa kecewa? (Ali-Imran: 139)
  5. Bagaimana harus kuhadapi? (Al-Baqarah: 45)
  6. Apa yang aku dapat dari semua ini? (At-Taubah : 111)
  7. Kepada siapa kuberharap ? (At-Taubah : 129)


MashaAllah, jujur...hati ini cukup tersentak saat mesej tersebut habis dibaca. Ya Allah, renungan itu sebetulnya sudah pernah diterima suatu masa dahulu, malahan terjemahan pada ayat-ayat tersebut inshaAllah sudah terhafal dengan sendirinya. Namun, jiwa ini benar-benar terusik tatkala diingatkan lagi untuk kesekian kalinya. Perasaan itu cukup berbeza dengan yang sebelumnya...


Jauh di dalam hati, sekalung penghargaan diiringi seuntai doa dihadiahkan pada pengirimnya. Jazakumullahu khayran katsiran, adik.


Sebuah al-quran yang pernah dihadiahkan oleh Ummu Hana sebelum ana meninggalkan kota Brisbane dicapai dari atas meja untuk disemak.


Fikiran ana kali ini lebih tertumpu kepada dua ayat dari surah Al-Ankabut seperti yang dituliskan dalam mesej tadi.


Allah merakamkan di dalam al-quran yang berbunyi : "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman, " dan mereka tidak diuji ? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta."


Entah kenapa...seperti mendapat ilham dari Allah, bacaan terjemahan diteruskan sehingga ana sampai ke ayat 10. Bacaan terhenti seketika. Berulang kali maksud ayat 10 dari Surah Al-Ankabut itu ana baca.


"Dan di antara manusia ada sebahagian yang berkata, “Kami beriman kepada Allah,” tetapi apabila dia disakiti (kerana dia beriman) kepada Allah, dia menganggap cubaan manusia itu sebagai seksaan Allah. Dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu, nescaya mereka akan berkata, "Sesungguhnya kami bersama kamu." Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada di dalam dada semua manusia ?"


Ya Allah, jangan biarkan diri hambaMu ini termasuk dalam golongan yang disebutkan olehMu di dalam ayat ini. Na’uzubillahiminzalik.


Dengan tidak semena-mena, kelopak mata ini dirasakan berkaca-kaca. Air jernih itu akhirnya jatuh berguguran kerana hati ini terlalu sebak. Kalah lagi ? Bukankah menangis itu tanda kelemahan ? Tidak ! Titisan air jernih kali ini bukanlah kerana kalah mahupun lemah, tetapi ia adalah tangisan kerana takut dan khuatir andai diri ini berputus asa dari mengharapkan rahmat Allah. Jangan begitu...tapi tegarlah, duhai diri!


Subhanallah ! Engkau datangkan ayat-ayatMu untuk merawat jiwa yang sedang diruntun hiba ini. Waktunya sungguh tepat. Guna mengubat hati dan menguatkan diri ini yang ternyata cukup lemah. Terima kasih Allah kerana sudi meminjamkan sedikit kekuatan buat hambaMu ini....


*** Lalu ketenangan itu hadir menyusup ke dalam lubuk hati ini atas izinNya...







Sunday, October 04, 2009

Conferment of Awards from Ihsan...





Alhamdulillah for these awards....never had any award before Except from my university (",)

P/S: Credits to Ihsan for your sign of appreciation. InshaAllah, will try to update my "untouched" blog later....by Allah's wills.

Sunday, September 27, 2009

Tatkala pintu usaha masih belum tertutup…

…"janganlah kerana lambatnya sesuatu kurniaan itu, kita merelakan hati untuk terus berputus harap pada yang Maha Mendengar segala permintaan…bukankah rahmatNya cukup luas? Mengapa harus kecewa sebelum mempertaruhkan segala daya dan upaya demi mengejar sesuatu hajat? Allah itu adil sikapNya…Maha Pemurah dan Pemberi…masih lagi sangsi dan ragu?...


Saturday, July 11, 2009

Video Pilihan: SATU CINTA

Tahukah kau tentang sebuah syair mengungkapkan:

"Tidak patutlah hidup, seseorang yang berfikir, kecuali hijrah dari suatu keadaan ke suatu keadaan yang lebih baik."

Janganlah engkau biarkan dirimu dipermainkan dunia, Sedangkan kau melihat segala ibrah di dalamnya."

Engkau tinggalkan Al-Quran, sebaliknya engkau dengari lagu-lagu hina yang mempesona.

Bukankah kau juga tahu kesenangan hidup dunia hanyalah sementara, hanyalah sedikit cuma...berbanding dengan apa yang akan diperolehi di akhirat.

Sanggup kau menggadai kesenangan dan kemewahan di sana untuk bersantai senang dengan hidup yang sementara di sini?

Mengenangkan keadaan sedemikian, tidak disedari air mata menitis membasahi pipiku. Aku menangis kerana terlalu sedikitnya amal kebaikan dan banyaknya dosa. Tiba-tiba serasa air mata bersuara: "Gerangan apa yang terjadi wahai hamba Allah?"

"Siapa engkau?" tanyaku.

"Aku titisan air matamu." Jawab suara itu.

"Lalu apa yang menyebabkan engkau keluar?"

"Gejolak panas hatimu."

"Panasnya hatiku...? Lalu apa yang menyalakan api di dalam hatiku, sehingga engkau merasa panas?"

"DOSA-DOSAMU dan MAKSIAT yang telah engkau kerjakan."

"Apa...? Dosa...? Apakah dosa mempengaruhi panas di dalam hati?

"Ya...tidakkah dikau pernah mendengar doa Rasul yang dibacanya terus-menerus?"

"Wahai Tuhanku, bersihkanlah segala kesalahanku dengan air dan salji yang dingin.

~ Sedikit petikan daripada Mihwar, April 2000 ~

Hampton Park, Melbourne

Saturday, June 20, 2009

Pemergian yang direlakan: Penghormatan buat Allahyarham Muhammad Ammar Zulkifli...

Bismillah, Dengan Nama Allah ana memulakan tulisan ini...

InshaAllah, meskipun terasa kurang yakin akan kemampuan menulis tentang seseorang yang ana tidak mengenalinya langsung...namun diri ini terpanggil untuk menukilkan barang sedikit buat peringatan buat diri dan semua yang membaca entri ini (semoga). Tiada yang ana harapkan, melainkan ucapan doa dari semua agar roh Allahyarham Ammar tenang di sisiNya...Amin!
*********************************

Seingat ana, ana lambat online YM pada malam itu....sebaik sahaja online, terbaca status YM sahabat tercinta, Sumayyah....dari statusnya, dengan jelas ana dapat membaca: "Al-Fatihah buat Ammar Zulkifli...."

Lantas, ana terus menyapa Sumayyah untuk bertanyakan tentang Ammar Zulkifli.

"Salamun'alaikum wbt Sumayyah....ini Ammar yang se-batch dengan kita waktu di INTEC dulu ke?" ana memulakan perbualan dengan Sumayyah.

Lama ana menunggu, tetapi tiada balasan...ana tebak, mungkin Sumayyah tiada di depan laptop...namun, kerana terlintas akan seorang teman seperjuangan semasa mengambil AUSMAT (Australian Matriculation) yang namanya juga Ammar (tetapi ana ingat-ingat lupa nama penuh teman sekuliah kami kerana ana memang kurang kenal dengan semua rakan se-batch terutama kaum lelaki), justeru ana terus "google" dengan keyword Ammar Zulkifli....

Search results keluar dan setelah ana klik di beberapa laman, tahulah ana bahawa Allahyarham adalah pelajar Medic Tahun 3 di Mesir....dan sememangnya bukan kenalan ana...nnalillahi wa inna ilaihi raaji'uun....Sesungguhnya kematian itu pasti!

Terus-terang, ana sendiri aneh dengan keinginan hati ana dan curiousity level yang amat tinggi untuk ana "follow-up" tentang arwah. Pencarian di internet selama beberapa hari sejak daripada berita kematian Allahyarham Ammar tersebar, sedikit sebanyak memberi maklumat kepada ana. Subhanallah, di usia yang masih muda (21 tahun), beliau telah "menyempurnakan tugas menapaki risalah Rasulullah SAW" di dunia ini...Kata-kata hikmah arwah di blognya cukup mengesankan hati ana...


"Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat. Laksana anak-anak akhirat...melihat dunia dari jendela akhirat." [Allahyarham Ammar Zulkifli]



Ana yakin, beliau pergi sebagai seorang mujahid...pastinya arwah sedang bergembira di "atas" sana dengan merasai nikmat dan ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah SWT buat hamba-hambaNya yang mati syahid. Wajarlah kami "cemburu" dengan arwah. Dengan lebih 1000 orang memberi penghormatan terakhir sewaktu pengebumian arwah, itu juga satu petanda yang perginya adalah pemergian yang terhormat...pengakhiran yang baik, inshaAllah. Seluruh semesta seolah-olah menangisi dan turut sama berduka atas kehilangan "permata berharga" ini. Didoakan agar keluarga Allahyarham Ammar akan meneruskan kehidupan seperti biasa dengan penuh bersemangat dan redha atas ketentuan Ilahi ini. Buat sahabat-sahabat seperjuangan yang mengenali arwah, tetaplah bersemangat meneruskan misi Allahyarham Ammar dalam menyebarkan dakwah di mana pun kalian berada. Memang wajar kita bersedih atas pemergian beliau yang takkan pernah kembali lagi....namun, apakah kalian tegar untuk terus-menerus bersedih sehingga segala agenda tergendala? Yakinlah, Allahyarham Ammar pasti "tersenyum bahagia" saat mengetahui bahawa perjuangannya bakal diteruskan oleh sahabat-sahabat tercinta....InshaAllah, semoga Allah izinkan!

Nota: Gambar-gambar sewaktu proses pengebumian arwah boleh dilihat di sini: Blog Ihsan

********************************

Ditakdirkan Allah, beberapa hari yang lalu ana terbaca satu coretan yang menyentuh soal Kematian. Dengan rendah hati, ana sekadar menulis ulang artikel ini untuk bacaan kita bersama. Semoga bisa mengambil istifadah (baca: manfaat) daripadanya, inshaAllah.
MELIHAT HARI ESOK

Wahai sekelian insan yang masih bernafas...Lihatlah!

Manusia, siapa pun dia, cepat atau lambat pasti akan mati. Ia akan berpisah dari isteri, anak, ibu bapa, handai taulan, sahabat dan teman, perniagaan, kerjaya dan sebagainya. Rela atau tidak, ia akan melepaskan semua yang dicintainya. Melepaskan nikmat dunia, agungnya kekuasaan dan indahnya kehormatan diri. Tujuannya satu, kenbali kepada Pemilik yang Abadi. Allah SWT berfirman:

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu." [QS3:185]

Manusia tidak mungkin dapat lepas dari kejaran kematian. Penjagaan, pengawalan dan pengawasan seketat manapun tidak membawa apa-apa erti apabila ajal datang menjemput. Allah berfirman:

"Di mana saja kamu berada, kematian akan menemukan kamu, kendatipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh." [QS4:78]

Secanggih manapun teknologi yang diraih, sehebat manapun kekuasaan yang dimiliki, manusia tidak dapat menentukan cara, waktu dan tempat kematiannya. Allah berfirman:

"Dan seorang pun tidak mengetahui di bumi mana dia akan mati." [QS31:34]

Wahai makhluk yang berakal...Fikirkanlah!

Kematian adalah babak baru perjalanan manusia. Kematian mengakhiri seluruh sepak terajang manusia dan bergerak menuju kehidupan baru yang sama sekali berbeza. Sebuah kehidupan baru yang sedang menanti. Kehidupan sejati yang tidak ada adat istiadat, rasuah dan peluang tawar-menawar di dalamnya. Pasca kematian, manusia berada di alam Barzakh yang merupakan "kubang neraka atau taman syurga" sementara menanti tibanya Kiamat.

Ketika Kiamat terjadi, manusia dibangkitkan untuk dipertanggungjawabkan di atas semua tindakan semasa hidup di dunia. Rasulullah SAW bersabda: "Kaki seorang hamba tidak akan bergerak pada Hari Kiamat hingga ia ditanya tentang empat perkara: tentang keseluruhan UMURNYA untuk apa dihabiskan, tentang MASA MUDANYA untuk apa digunakan. Tentang HARTANYA, dari mana ia dapatkan dan untuk apa ia belanjakan. Dan tentang ILMUNYA, yang mana telah diamalkan?"

Tak ada sesuatu pun yang luput dari pertanyaan dan perhitungan Allah. Tiada perbuatan sekecil apapun yang tidak diminta pertanggungjawabkan oleh Allah. Allah SWT berfirman:

"Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya akan diminta pertanggungjawabkan." [QS17:36]

Wahai insan yang kerdil lagi dhaif...Sedarlah!

Perhitungan terhadap tanggungjawab ini bukan lantaran Allah tidak memiliki pengetahuan tentang seluruh perbuatan kita. Namun, untuk melihat sejauhmana kejujuran kita dalam pengakuan. Jika semua yang kita ungkapkan adalah sebuah pengakuan yang jujur, dengan apa adanya. Mungkin semua kesalahan yang telah kita lakukan akan diampuni Allah. Berjaya atau tidaknya pengakuan tersebut amat bergantung pada pengakuan kita terhadap diri sendiri, manusia dan sejarah kita ketika di dunia.

Warna tingkah laku asli seorang manusia ketika di dunia akan terbawa dan terlihat dengan utuh di akhirat. Mukmin yang tunduk kepada Allah di dunia akan tetap tunduk malah lebih tunduk ketika di akhirat. Kerana ketika itu ia menyaksikan secara langsung keagungan Allah. Manakala manusia yang biasa berbohong di dunia, kebohongannya akan jelas terlihat di akhirat. Tidak hairanlah kalau orang yang tidak mahu mengakui kesalahannya di dunia, di akhirat sana juga tidak akan mengakui kesalahannya.

Wahai hati yang leka dan lalai...Bangunlah dari lena yang panjang!

Sewaktu di dunia manusia begitu mudah berbohong. Ia begitu berjaya menutup semua pekung di dada. Ia mendakwa hartanya bersih dari noda dan dosa...tak siapa mampu membuka celah kesalahannya. Namun, akan semudah itu pulakah kebohongannya di akhirat kelak? Saat itu, Allah SWT tidak membiarkan mulut manusia pembohong itu mendendangkan lagu palsu semerdunya seperti di dunia. Allah mengunci rapat mulut-mulut para pembohong. Dan Allah berikan peluang dan kesempatan pada anggota lain untuk berbicara. Mengungkap fakta dan rahsia yang selama ini tersembunyi di dada mereka. Allah berfirman:

"Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksian pula kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan." [QS36:65]










Wahai pendengaran, penglihatan dan hati...renungkanlah!

Dikisahkan, ketika Umar al-Khattab naik ke mimbar untuk menyampaikan nasihat kepada rakyatnya, Salman al-Farisi bangun meningkah. Salman berkata: "Demi Allah, kami tidak akan mendengar pidato anda sebelum anda menjelaskan dari mana anda mendapatkan baju yang anda pakai.. Sebab kami semua diberi sepotong kain, sementara anda kami lihat mengambil dua potong kain!"

Dengan penuh bijaksana Umar bertanya, "Apakah di sini ada Abdullah bin Umar?" Abdullah bin Umar pun menjawab, "Ya, saya ada di sini, wahai Amirul Mukminin!" Umar berkata, "Wahai Abdullah cuba kau jelaskan asal usul baju yang saya pakai ini!"
Abdullah bin Umar menjelaskan, "Baju tersebut berasal dari sepotong kain saya, wahai Amirul Mukminin!" Setelah mendengar jawapan itu, Umar pun berkata, "Sebagaimana yang kamu semua tahu, saya ini berbadan besar lagi tinggi, sedangkan kain yang diberi itu pendek sehingga tidak boleh saya jadikan baju. Kemudian Abdullah bin Umar menghadiahkan potongan kainnya, lalu saya sambungkan dengan potongan kain saya. Dan sekarang, jadilah ia seperti yang kamu sekelian lihat sekarang ini!"

Dengan linangan air mata Salman al-Farisi berkata: "Sekarang, silakanlah anda berucap wahai Amirul Mukminin. Kami pasti mendengar apa yang akan anda katakan."


Wahai jiwa yang berbolak-balik...Tetapkanlah pendirian!
Alangkah malangnya nasib para pembuat dosa ketika berada di hadapan pengadilan Ilahi Yang Maha Adil Lagi Bijaksana. Lidah yang telah terlatih selama puluhan tahun dalam dusta kini terkunci sudah. Ia bagaikan makhluk kotor dan hina yang tak layak tampil di hadapan Yang Maha Suci. Ketika itu, tangannya mula memberikan pengakuan dan kesaksian. "Saya telah digunakan oleh orang ini untuk melakukan perbuatan keji, mencuri, memukul, menyentuh perkara yang diharamkan serta segala perkara yang zalim."

Lalu kaki pula menambah "Berpuluh-puluh tahun saya dipaksa menopang tubuh ini untuk pergi ke tempat-tempat maksiat." Satu demi satu anggota yang lain berkata memberi penyaksian terhadap apa yang mereka lakukan di dunia. Tiada satu pun yang tertinggal kecuali semua mendapat penyaksian.

Ketika itu pelaku dosa tidak mampu melakukan apa-apa. "Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepadamu (hai orang kafir) seksa yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya dan orang kafir berkata, "Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu adalah tanah." [QS78:40]

"Wahai jiwa yang tenang,

Kembalilah kepada Tuhanmu, dengan redha dan diredhai (ALLAH),

Maka masuklah kau dalam golongan hamba-hambaKU,

Dan masuklah kamu ke dalam syurgaKU"